Saturday 18 May 2013

Kemalangan Maut di Federal Highway.


Hai. Kali ni nak kongsi pendapat tentang sesuatu yang bagi saya agak sensitive iaitu kemalangan jalanraya yang telah meragut nyawa seorang saudara saya dan juga empat lagi nyawa. Kemalangan yang saya maksudkan di sini ialah kemalangan di Federal Highway pada 21 April 2013, lebih kurang jam 4 pagi. Terlebih dahulu saya memohon maaf sekiranya apa yang saya kongsikan di blog saya ini akan mengundang rasa kesedihan atau ketidak-puas hati anda.

 * * * * * * * * * *  A L – K I S A H  * * * * * * * * * *

Kemalangan ngeri yang melibatkan beberapa nyawa manusia di federal highway pada tarikh di atas turut meragut nyawa seorang saudara saya. Siapa orangnya, biarlah dirahsiakan atas sebab-sebab tertentu. Saya sendiri tidak beberapa mengenali arwah jadi rasa kehilangan itu kurang terasa dalam diri saya ini namun saya akui..sebagai salah seorang saudara..setiap kali melihat keluarga arwah terasa sebak juga hati ini bila memikirkan setiap nyawa yang dihidupkan oleh Allah S.W.T pasti akan kembali kepadaNya juga. Selepas peristiwa itu, selalu juga saya memikirkan soal kematian yang pasti.

Namun, baru-baru ini saya ada melihat kembali video kemalangan terbabit di youtube yang dirakam beberapa orang yang berada di tempat kejadian. Pada mulanya saya menonton video yang kurang jelas kualitinya namun yang lebih menimbulkan rasa tidak puas hati adalah perakam video terbabit menggunakan perkataan ‘dahsyat’, ‘ramai sangat orang yang mati ni’, ‘atas jalan lagi ni’, ‘gila-gila lah’.. Bagi saya perkataan yang digunakan untuk mengolah video terbabit sangat tidak patut. Adalah lebih baik jika si perakam berdiam diri jika ingin juga merakam kemalangan tersebut. Tambahan lagi, kedengaran seakan si perakam berbangsa melayu..jadi sekurang-kurangnya sebutlah perkataan ‘Astaghfirullahhalazim’ ataupun ‘innalillahhiwainnailahirojiun’.. tetapi sepanjang tempoh 3.08 minit video itu dirakamkankan tidak kedengaran juga perkataan yang patut disebutkan. Maaflah jika si perakam menyebutnya di dalam hati.

Video seterusnya yang saya tengok lebih kurang sama cuma lebih terang dan agak jelas. Namun, saya amat terkilan apabila melihat satu video kemalangan terbabit yang turut merakam arwah saudara saya ketika ‘nyawa-nyawa ikan’.. Saya melihat arwah didalam video tersebut masih hidup namun sudah lemah dan mulutnya turut berbuih.. yang saya terkilan adalah seberapa ramai saudara islam di tempat kejadian namun tiada seorang pun yang berada di samping arwah dan beberapa mangsa kemalangan lain yang beragama Islam dan mengajar mereka untuk mengucap. Rata-rata hanya berada di situ untuk menjadi ‘wartawan sambilan’, ‘ahli forensik’ ala-ala CSI.

Dalam video tersebut saya ada terlihat mangsa yang berbangsa India yang turut maut dalam kemalangan terbabit sudah separuh bogel..seluar mangsa sudah terlucut dan menampakkan seluar dalamnya.. Namun lambat sungguh untuk saksi-saksi kejadian menutup ‘aib’ lelaki terbabit walaupun sudah ketara di situ malah meneruskan rakaman. Atau.. adalah menjadi satu kesalahan sekiranya kita ‘mengacau’ atau ‘mengusik’ mereka yang terlibat dalam kemalangan itu? Sekiranya salah, saya memohon maaf kerana saya masih belum cukup ilmu di dada dalam hal begitu tetapi akan terus cuba mencari dan menambah ilmu.

Salah seorang mangsa kemalangan yang turut dirakam juga dirakam dalam keadaan matanya masih terbuka. Saya sendiri tidak pasti sama ada mangsa masih hidup atau tidak ketika rakaman itu namun sekiranya mangsa sudahpun meninggal dunia, bukankah lebih elok iika kita menutup matanya?

Walauapapun, saya di sini mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa kemalangan berkenaan dan turut mendoakan saudara sesama islam yang meninggal dunia dalam kemalangan terbabit akan tenang di alam sana dan ditempatkan di dalam kalangan orang yang beriman.

Bagi saya jika kita bertembung dengan apa jua kemalangan, adalah lebih baik sekiranya kita bantu mangsa. Sekiranya hendak dirakamkan pun, setidak-tidaknya bantulah apa yang perlu.. Bagi saya sikap sebegitu agak-agak mementingkan diri sendiri. Kita seharusnya membantu dalam keadaan sebegitu dan sebarang fikiran untuk merakam atau mengambil gambar kejadian perlu diletakkan pada urusan terakhir. Namun, dalam kita membantu mereka yang terlibat dalam kemalangan, keselamatan kita juga penting.

Saya amat berharap dan berdoa agar kemalangan jalan raya yang telah meragut nyawa ramai manusia akan berkurangan saban hari. Kita semakin maju dengan teknologi terkini namun sekiranya sikap pemanduan dan pemikiran kita masih di takuk lama.. segala kemajuan yang ada akan menjadi sia-sia malah berkemungkinan menjadi sebab kemalangan berlaku.

 * * * * * * * * * * T A M A T  * * * * * * * * * *

*Setiap kali orang tersayang melangkah kaki keluar dari rumah, doakan lah agar mereka diselamatkan dari sebarang bencana dan malapetaka juga gangguan iblis laknatullah. 

'Nenek' Rindu Cucu Nenek. :(


Assalamualaikum. Anyeonghaseyo. Entri kali ni nak menceritakan tentang kesedihan hati saya. Kenapa saya sedih? Sebabnya adalah saya telang kehilangan sesuatu yang sangat saya sayang.. Semua berlaku tanpa pengetahuan saya dan sedar-sedar sahaja saya telah kehilangannya.

* * * * * * * * * *  A L – K I S A H  * * * * * * * * * *

15 Mei 2013 akan tersenarai sebagai salah satu tarikh yang tak akan saya lupakan kerana pada hari tersebut saya telah kehilangan ‘buah hati’ saya amat paling bermakna dalam hidup saya. Liioon dan tiga ekor lagi buah hati saya hilang serentak. Sedangkan pagi itu saya baru melihat mereka bergurau senda. Liioon atau saya gelar cucu nenek ialah seekor kucing yang telah saya bela sejak dari lahir. Bagi saya Liioon adalah seekor kucing yang istimewa walaupun orang lain melabelkannya sebagai cacat. Memang liioon dilahrkan cacat. Liioon buta sebelah mata sejak dari lahir dan sebelah matanya lagi diliputu oleh selaput mata yang menyebabkannya tidak dapat melihat dengan jelas. Itulah salah satu sebab utama kenapa saya sangat sayangkan Liioon dan menggelarkannya sebagai cucu nenek.

 Saya sendiri akui yang saya berat sebelah terhadap Liioon berbanding enam lagi kucing yang dipelihara saya. Walaupun Liioon buat salah contohnya membuang bersepah saya tak mampu marah Liion. Saya hanya akan berkata “Cucu nenek ni suka bagi nenek kerja lebih.” Walaupun Liioon selalu mencengkam peha saya setiap kali saya nak buatkan makanan dia saya hanya mampu menyebut namanya sahaja. Walaupun kadangkala terlepas juga memarahi Liioon, namun saya akan segera memujuknya. Liioon memang mudah merajuk sekiranya saya memarahinya. Pernah sekali saya tiada di rumah selama seminggu, jadi selama seminggu itu jugalah saya tidak memanggil namanya jadi apabila saya balik ke rumah dan memanggilnya dia seakan-akan tidak memberikan respon kepada saya, Liioon hanya akan datang berlari anak kepada saya sekiranya saya memanggilnya ‘Ion’ atau ‘Cucu Nenek’. Adik-adik saya cuba memanggilnya juga namun sedikit pun Liioon tidak berganjak malah tidak ambil endah terhadap panggilan mereka. Liioon membesar tidak seperti ‘adik-adiknya’ yang sempurna dan sihat. Pada mula-mula Liioon berjalan, Liioon sering terlanggar meja, kerus dan almari. Bayangkanlah apabila Liioon dan Bb bergurau dan berlari satu rumah..setiap kali itu jugalah Liioon akan melanggar apa sahaja di hadapannya kerana Liioon tidak berapa nampak dengan apa yang ada di depan matanya, Bila tiba masa makan, Liioon lah yang paling lambat akan sampai ke makanan jadi setiap kali masa makan saya sendiri akan ambil Liioon dan letakkannya di depan mangkuk makanannya. Pernah sekali masa makan, ‘Mama Pipok’ pernah tergigit kaki Liioon sebab Liioon masuk ke dalam magkuk makanan.

cucu nenek yang comot

tidur di riba nenek :)

menggeliat

meh tunjuk gigi meh

ion nenek yang comot









































Bila Liioon nak tidur saya suka panggil dia tidur di riba saya. Kadangkala saya akan biarkan dia tidur di lengan saya seakan-akan baby. Liioon memang buah hati saya. Mana-mana saya pergi saya akan ingat Liioon. Satu tabiat Liioon yang tak akan saya lupa adalah Liioon suka mengeluarkan kuku bila di dipegana atau rasa terancam. Banyak kali juga saya kena cakar bila cuba memandikannya namun tidak seteruk cakaran Bb.

Sekarang Liioon dah hilang. Saya rasa tak tentu arah. Macam ada sahaja yang berkurang. Jujur, saya kurang mempedulikan kucing-kucing yang lain bila Liioon hilang. Entah kenapa saya rasa terganggu sangat. Saya cuba mencarinya di sekitar rumah namun tiada tanda-tanda yang Liioon berhampiran. Saya sangat sayangkan Liioon. Saya rindu nak panggil namanya dan melihat Liioon berlari ke arah saya. Saya rindu dia mencengkam peha saya setiap kali saya membuat makanan untuknya ataupun ketika saya sedang makan. Saya tak berhenti berfikir apa yang akan jadi pada Liioon.

Apa yang saya mampu lakukan hanyalah teruskan mencari Liioon dan berdoa supaya Liioon dan anak-anak kucing saya yang lain selamat dan sihat. Sekiranya tidak ditakdirkan saya untuk menjaga Liioon kembali, saya berdoa supaya ada orang lain yang terbuka hati untuk menjaga Liioon saya dengan lebih baik.

* * * * * * * * * *  T A M A T  * * * * * * * * * *

*Liioon, nenek rindu Liioon. Nenek risau Liioon dah makan ke belum. Nenek risau Liioon nampak ke tak sekeliling Liioon.

P/s: Saya bukanlah sengaja berdrama atau melebih-lebih tapi itulah perasaan saya sebagai pencinta kucing.